arena

Srikandi skuasy mahu lebur ego Mesir

Oleh BERNAMA

SKUAD wanita negara bertekad meleburkan rekod tanpa kalah Mesir dalam acara berpasukan apabila Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Skuasy Remaja Dunia Yayasan CIMB 2019 di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil dari 30 Julai hingga 8 Ogos.

Juara Terbuka Remaja British tiga kali, Aifa Azman berkata, pasukan Mesir muncul juara enam edisi lepas dan Malaysia kali ini mahu menebus kekalahan pada edisi 2017 di pentas final.

"Kami tidak berasa tekanan kerana kami melangkah ke final dalam edisi sebelumnya, jadi kami hanya perlu berlatih keras dan mempunyai persefahaman antara satu sama lain. Hanya dengan cara itu kami dapat menjadi pasukan terbaik," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau juga berhasrat memanfaatkan undian kejohanan dalam acara individu kali ini selepas tewas kepada pemain Mesir, Farida Mohamed pada pusingan ketiga edisi tahun lepas di Chennai, India.

Aifa pilihan ketiga keempat bersama dan mendapat ‘bye’ pusingan pertama akan bertemu sama ada pemain New Zealand, Ella Lash atau pemain Norway, Madeleine Hylland pada pusingan kedua.

Juara Remaja Asia dua kali, Chan Yiwen yang beraksi buat kali pertama dalam acara berpasukan berazam meneruskan aksi cemerlang semasa Kejohanan Skuasy Nasional Ohana pada kejohanan ini.

"Saya belajar banyak cara mengubah dan menyesuaikan diri dengan rentak berbeza dalam permainan. Walaupun tumpas kepada pilihan utama Low Wee Wern pada separuh akhir, ia menjadikan saya lebih bersedia untuk kejohanan ini," katanya.

Chan, pilihan kelima kelapan bersama mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama dan akan bertemu pemain Jepun, Erisa Sano Herring pada pusingan kedua dan dijangka mara ke suku akhir berdepan pilihan kesembilan-12 dari Mesir, Sana Ibrahim.

Selain Aifa Azman dan Chan Yiwen, pemain lain yang beraksi ialah Ooi Kah Yan, Noor Ainaa Amani Ampandi, Yee Xin Ying dan Aira Azman dalam acara individu.

Kejohanan remaja dunia bermula dengan acara individu lelaki dan wanita dari 30 Julai hingga 4 Ogos dan diteruskan dengan kejohanan berpasukan wanita dari 5 hingga 9 Ogos.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 6:01pm
d