arena

26,000 tiket laris di Stadium Darul Aman

Oleh Izzali Ismail

PERSTUAN Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan 26,000 keping tiket perlawanan Piala FA berjaya dijual sejak jam 10.30 pagi di Stadium Darul Aman, hari ini.

Pengumuman itu dibuat Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustaffa selepas mendapat maklumbalas Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Masuk KFA, Jusri Anuar Jamarudin sebaik kaunter tiket ditutup jam 4.30 petang tadi.

"Daripada jumlah 30,000 tiket diberi kepada KFA, kita berjaya jual 26,000 setakat jam 5 petang tadi dan kita juga ada cadangan berkaitan baki 4,000 tiket yang kita boleh mohon jual di Stadium Shah Alam.

"Ada yang tanya saya kenapa tak jual di Stadium Nasional Bukit Jalil, jawapan sebenarnya tak boleh. Jadi kita akan minta kebenaran daripada Stadium Shah Alam untuk lakukan jualan di sana dalam dua jam atau lebih kepada penyokong di Lembah Klang dan mereka boleh dapatkan tiket di situ.

"Langkah kedua yang kita boleh ambil adalah menyerahkan jumlah tiket yang tidak habis itu kepada jualan dalam talian dan mungkin Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh tolong jualkan bagi pihak kita hingga tempoh sebelum perlawanan," katanya.

Anas juga optimis keseluruhan 30,000 tiket dikhususkan kepada KFA akan habis dijual sebelum Jumaat ini.

Anas bagaimanapun menolak andaian peminat tidak berminat membeli tiket final berdasarkan sambutan pembeli pada awal jualan yang dilihat tidak sepantas musim sebelum ini.

"Tidak ada kaitan dengan peminat tidak mahu membeli tiket final kerana apa yang kita buat kali ini sangat tersusun, seperti semua tahu kita buka lima kaunter, setiap kaunter ada empat saluran termasuk untuk wanita,” katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2019 @ 9:40pm
d