arena

Bale kembali ledak, Real atasi Arsenal

Oleh Reuters

REAL Madrid mengalahkan Arsenal menerusi penentuan penalti selepas Gareth Bale kembali dengan sentuhan jaringan bersama kelab Sepanyol itu ketika seri 2-2 pada aksi Piala Juara Antarabangsa, pagi ini.

Arsenal membariskan skuad mantap diketuai Mesut Ozil manakala Real meletakkan Bale di bangku simpanan ketika Eden Hazard, yang menyarung jersi nombor 50, bermula di samping pemain baharu Luka Jovic di bahagian serangan.

Perlawanan itu bagaimanapun dilihat berakhir selepas pertahanan Real, Nacho dibuang padang apabila menerima kad kuning kedua hanya selepas sembilan minit di Washington, Amerika Syarikat.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu dilayangkan kad kuning kerana kekasaran ke atas Sead Kolasinac dan satu lagi kerana menghalang percubaan Alexandre Lacazette dengan tangannya di garisan gol.

Lacazette tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-10, sebelum pemain Perancis itu mengumpan kepada Pierre-Emerick Aubameyang untuk menggandakan kedudukan 14 minit kemudian.

Pengadil mencuri tumpuan sekali lagi apabila beliau melayangkan dua kad kuning dalam tempoh singkat kepada pertahanan Arsenal, Sokratis Papastathopoulos yang dibuang padang pada minit ke-40.

Bintang Wales, Bale dan Marco Asensio menjaringkan gol dalam tempoh tiga minit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan dan memaksa penentuan penalti.

Arsenal mendahului ketika penentuan penalti apabila Reiss Nelson menyempurnakan sepakannya manakala Bale terlepas, namun kegagalan Granit Xhaka, Nacho Monreal dan Robbie Burton ternyata menjadi pemusnah sekali gus menyaksikan Real menang 3-2.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 10:43am
d