arena

Kembali selepas rehat lima bulan

Oleh Aida Adilah Mat

LIMA bulan tanpa sebarang pertandingan, pelari pecut wanita negara Zaidatul Husniah Zulkifli kini sudah bersedia untuk beraksi.

Husniah yang berpangkalan di Amerika Syarikat sejak Februari lalu bersama Kelab Winners Circle Athetics Georgia, Atlanta diharap mampu mencipta rekod kebangsaan.

Pemenang pingat perak 100 meter, Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) bakal beraksi buat pertama kali di Kejohanan Rakokivi Nastola, esok (25 Julai) dan diikuti Kejohanan di Mantta pada 7 Ogos ini.

Manakala rakan senegara Jonathan Nyepa yang turut berada di AS akan beraksi di Kejohanan Joensuu International Track Meet, awal pagi esok dan Kejohanan di Mantta.

Bagaimanapun bagi jurulatih M Balamurugan, beliau tidak mahu memberi tekanan kepada tatkala pelari itu baru pulih daripada kecederaan.

Kata Balamurugan, biarpun Husniah tidak menyertai sebarang pertandingan namun masa yang ada itu digunakan sepenuhnya mendalami ilmu latihan selain proses membina otot dan menaikkan berat badan.

"Saya tidak mahu memberi dia tekanan. Saya percaya dengan perkembangan latihannya dan turut dimaklumkan perkembangannya di sana juga semakin meningkat.

"Dengan sistem dan pengalaman baru diraih di AS, saya harap dia dapat memecahkan rekod kebangsaan tidak lama lagi," katanya.

Tegas Balamurugan, tiada apa yang perlu dikejar Husniah ketika dia sudahpun melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA Filipina.

Husniah satu-satunya atlet wanita yang sudah melepasi syarat kelayakan ke Sukan SEA.

Bagi saingan wanita atlet perlu melepasi catatan 11.76s, catatan tempat kedua di temasya yang lalu.

Justeru apa yang perlu dibuat pelari itu adalah mempelajari dan mempraktikkan teknik baru yang di belajar di AS di bawah kendalian Dwayne I Miller.

Miller sedang menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk datang ke negara ini bagi membantu menggilap atlet pecut negara.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 3:52pm
d