arena

Penyelesaian isu gaji Melaka United esok

Oleh Nazri Abu Bakar

PENYELESAIAN isu tunggakan gaji pemain Melaka United (MU) dijangka bakal diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari pada sidang media mesyuarat Exco kerajaan negeri, di Seri Negeri, Ayer Keroh esok.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, pengumuman berkenaan bakal merungkai persoalan isu tunggakan gaji pemain yang menjadi bualan peminat bola sepak.

Menurutnya, beliau memahami luahan peminat yang mahu isu berkenaan diselesaikan segera menjelang saingan Piala Malaysia musim ini.

“Begitu juga kami memahami keresahan pemain yang menghadapi situasi sulit berkenaan tambahan mereka bakal beraksi di pentas Piala Malaysia .

“Selaku Setiausaha Agung saya sudah menghantar segala maklumat berkenaan dengan kewangan persatuan untuk rujukan presiden,” katanya.

Menurut sumber pula, setakat ini pemain dimaklumkan pihak pengurusan sedang mencari dana namun belum menerima sebarang bayaran.

"Situasi seperti ini memang membebankan kerana setiap bulan mereka memiliki komitmen dengan bank. Apabila bank menekan pemain, sudah pasti mereka juga mengharapkan pengurusan dapat selesaikan gaji mereka.

"Sebenarnya orang tidak tahu apa yang sedang dihadapi pemain. Malah mereka sebagai pemain profesional tidak mahu memanjangkan hal ini tetapi sampai bila mereka perlu tunggu?.

"Kini tunggakan hampir memasuki tiga bulan dan kali terakhir pemain terima gaji adalah pada Ramadan lalu," kata sumber terbabit.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 6:51pm
d