arena

Pusat Latihan FAS baharu serba moden

Oleh Ruwaida Md Zain

PEMBUKAAN Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FA Selangor) di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, Shah Alam bukti komitmen untuk membawa persatuan itu ke tahap lebih tinggi.

Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bertitah, pusat latihan berkeluasan 37,161 meter persegi (400,000 kaki persegi) diharap dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan serta staf dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia.

“FAS satu entiti besar dalam arena bola sepak Malaysia. Walaupun ditubuhkan hampir 83 tahun lalu dan meraih pelbagai kejuaraan utama di Malaysia, FAS masih lagi beroperasi di pejabat usang di Kelana Jaya dan hanya mempunyai pusat latihan serba kekurangan," titah baginda ketika merasmikan Pusat Latihan FAS itu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan serta Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Titah baginda, perasmian fasiliti baharu itu adalah visi pertama baginda yang turut menyaksikan pusat pentadbiran FAS berpindah daripada pejabat lama di Kelana Jaya selepas hampir 23 tahun.

"Kemudahan baharu dilengkapi padang latihan, gimnasium dan kawasan rawatan fisioterapi. Kompleks pejabat ini bukan sahaja diharapkan dapat memberi semangat dan inspirasi baharu kepada pemain selain membolehkan pentadbiran persatuan dan kejurulatihan diletakkan di bawah satu bumbung," titah baginda.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya bersyukur impian FAS untuk mempunyai fasiliti lebih baik dan pusat pentadbiran persatuan lebih mampan berjaya direalisasikan.

"Terima kasih kepada Vizione Holdings Berhad, salah satu rakan strategik FAS yang menjadi penggerak utama dalam pembinaan fasiliti bernilai RM1.5 juta ini.

"Komitmen inilah yang bakal membuatkan pasukan lebih bersemangat untuk memburu kemenangan di atas padang. Kami berharap melalui kerjasama ini, maka lebih banyak syarikat akan tampil sebagai rakan penaja kepada FAS,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor terutamanya Amirudin kerana sentiasa memberikan komitmen untuk memajukan bola sepak Selangor.

"Tanpa kerjasama daripada Yang Amat Berhormat, fasiliti serba moden ini pasti tidak akan berjaya dibina," katanya.

Selepas perasmian, Tengku Amir Shah turut menonjolkan kelincahan baginda bermain bola sepak dalam perlawanan persahabatan antara pasukan Raja Muda Selangor dan Menteri Besar yang menjadi simbolik perasmian pusat latihan terbabit.

Dalam perlawanan selama 40 minit itu, pasukan Raja Muda Selangor menumpaskan pasukan Menteri Besar dengan jaringan 2-1.

Disiarkan pada: July 24, 2019 @ 10:12pm
d