arena

Terima kasih Presiden MUSA - Zainal

Oleh Nazri Abu Bakar

JURULATIH Melaka United, Zainal Abidin Hassan berterima kasih terhadap keprihatinan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari yang menjaga kebajikan pemain skuad berkenaan.

Baginya, usaha penyelesaian tunggakan gaji pemain skuad Hang Tuah memberi kelegaan kepada pemain dan pegawai pasukan menjelang saingan Piala Malaysia musim ini.

Zainal meminta pemain mengenepikan sebarang permasalahan ketika membuka saingan untuk melepasi saingan peringkat kumpulan D.

"Bertemu Selangor, FELDA United dan PDRM tetap sengit dan sukar buat pasukan tetapi yakin salah satu slot ke suku akhir mampu menjadi milik pasukan.

"Namun, Melaka fokus untuk memastikan setiap perlawanan berakhir dengan kejayaan tiga mata terutama pada saingan di gelanggang sendiri," katanya mengulas usaha serta jaminan MUSA menyelesaikan tunggakan gaji pemain selewat-lewatnya bulan depan.

Sedikit melegakannya adalah skuad berkenaan beraksi lebih banyak di gelanggang sendiri kerana The Cops berkongsi venue sama dengan skuad Hang Tuah.

Zainal berkata, apapun di atas kertas bukan penentu kepada keputusan sebenar justeru perjuangan habis-habisan amat penting memastikan kejayaan pasukan.

Beliau berkata, langkah MUSA menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan diakui mampu memberi impak semangat kepada anak buahnya untuk merealisasikan sasaran terbabit.

Dalam laporan HM Digital hari ini, kemelut masalah tunggakan gaji didakwa membelenggu pemain sejak Aidilfitri lalu berjumlah hampir RM3 juta dijangka diselesaikan selewat-lewatnya Ogos depan.

Adly berkata persatuan itu memberi jaminan akan membayar sebulan tunggakan gaji pemain pada hujung bulan ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka mengakui terdapat sedikit masalah di mana penaja belum menyelesaikan komitmen tajaan sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain tertunggak.

Katanya, MUSA akan menyelesaikan isu dengan pihak penaja dan menyelesaikan tunggakan gaji dalam tempoh ditetapkan.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 3:26pm
d