arena

Perak prihatin kebajikan bekas atlet

Oleh Shaarani Ismail

UNIT Kebajikan Bekas Atlet Perak yang ditubuhkan pada April lalu sudah pun memulakan proses pendaftaran bekas atlet dengan unit berkenaan bagi memastikan nasib bekas atlet yang pernah mengharumkan nama untuk negeri Perak terus mendapat pembelaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, berkata penubuhan Unit Kebajikan Bekas Atlet Perak itu adalah inisiatif kerajaan negeri dalam membantu bekas atlet dari segi kewangan, latihan, sara hidup dan sebagainya.

"Setiap permohonan bantuan diterima akan dipertimbangkan berdasarkan kepada situasi individu berkenaan," katanya dalam kenyataan di Ipoh, hari ini.

Chuan How sebelum itu mengadakan kunjungan ke kediaman bekas atlet berbasikal negeri era 1990-an, Chen Wee Chung dan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 bagi meringankan beban hidup yang dihadapi oleh Wee Chung.

Wee Chung kini menghidapi jangkitan kuman yang serius (MRSA) yang mengakibatkan tulang kakinya mereput dan tidak boleh berjalan.

Beliau pernah mewakili negeri Perak dan mendapat tiga pingat gangsa semasa Kejohanan SUKMA 1994 selain pernah mewakili negara ke Kejohanan Remaja Asia (AJC).

Wee Chung kemudian menyumbang keringat sebagai jurulatih sukan berbasikal negeri namun kemalangan motosikal dialami mengubah hidupnya.

Chuan How berkata, Perak akan terus berusaha memastikan kebajikan bekas atlet negeri ini sentiasa dibela, dihargai dan mendapat bantuan sewajarnya atas sumbangan mereka dalam kecemerlangan bidang sukan.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 4:02pm
d