arena

Dapatkan tiket di Stadium Shah Alam esok

Oleh BERNAMA

KIRA-kira 2,000 tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini, akan dijual di Stadium Shah Alam pagi esok.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa berkata, ia baki daripada 30,000 tiket yang dijual di Stadium Darul Aman pada Selasa lepas.

“Selepas mendapat kebenaran pihak Stadium Shah Alam, kita akan membuka jualan di kaunter Quadrant ‘A’ bermula 10 pagi hingga 5 petang dan tiket ini adalah kuota penyokong Kedah dan dicetak pintu masuk kawasan Kedah sahaja.

“Tiket dijual juga hanya membabitkan tiket dewasa berharga RM50 dan saya optimis ianya akan habis dijual esok,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penjualan tiket di stadium berkenaan akan memudahkan penyokong serta peminat setia Lang Merah yang tinggal di Lembah Klang untuk mendapatkannya.

Dua hari lalu, penjualan tiket final Piala FA 2019 di Stadium Darul Aman ‘hambar’ setelah kaunter jualannya dibuka pada jam 10.30 pagi hingga 4.30 petang.

Kedah melangkah ke perlawanan akhir berdasarkan kelebihan jaringan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3 dengan FELDA United pada separuh akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 30 Jun lepas.

Skuad Lang Merah yang merupakan juara empat kali, bakal dicabar juara dua kali, Perak yang menewaskan Pahang 4-3 secara agregat di Ipoh pada separuh akhir kedua.

Kali terakhir Kedah merangkul kejuaraan Piala FA ialah pada 2017 selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 6:01pm
d