arena

MBPJ jagoan SUKANUN 2019

Oleh Norzamira Che Noh

KARNIVAL Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) kali ke-11 menutup tirai dengan menyaksikan kontinjen Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) muncul juara keseluruhan selepas memenangi lima pingat emas dan tiga perak.

MBPJ meraih emas acara tenis, karom, futsal wanita, dart, serta sepak takraw manakala perak menerusi tenpin boling (lelaki), badminton dan bola jaring.

MBPJ terikat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 102 mata tetapi juara ditentukan berdasarkan pungutan pingat emas.

Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ, Aznan Hassan berkata, kemenangan itu amat bermakna selepsa terpaksa menunggu hampir 20 tahun untuk menyandang gelaran jagoan SUKANUN.

"Kami menyertai SUKANUN tidak kurang 10 kali dan memandangkan ia diadakan secara dwi-tahunan, kami mengambil masa hampir 20 tahun untuk merebut gelaran juara. Sebelum ini kami hanya berada dalam tiga terbaik.

"Kami memang berhasrat untuk menjadi juara pada penganjuran kali ini tambahan pula ia dianjurkan di tempat sendiri iaitu Lembah Klang, justeru persiapan rapi sudah kami lakukan sejak dua tahun lalu.

"Selain persiapan rapi serta komitmen atlet, semangat bermain di tempat sendiri itu secara tidak langsung menjadi pendorong kemenangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penutup SUKANUN ke-11 di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan) UiTM, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad.

Naib juara disandang DBKL dengan dua emas, tiga perak serta tiga gangsa manakala tempat ketiga dimenangi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa.

Disiarkan pada: July 25, 2019 @ 8:11pm
d