arena

Djoko tarik diri Masters Kanada

Oleh AFP

JUARA Wimbledon dan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic menarik diri daripada kejohanan pemanas badan menjelang Terbuka AS di Montreal bulan depan, menyatakan dia perlukan lebih rehat selepas memenangi kejuaraan perseorangan Grand Slam ke-16.

Pemain Serbia berusia 32 tahun itu, yang menewaskan Roger Federer pada perlawanan final epik di Kelab All-England awal bulan ini, disertai pemain ranking ke-12 dari Argentina, Juan Martin Del Potro menarik diri daripada kejohanan Masters Kanada ATP itu.

“Saya memohon maaf mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada Piala Rogers,” kata Djokovic dalam satu kenyataan dikeluarkan Tennis Kanada. “Dengan sokongan pasukan saya, saya memutuskan untuk berehat lebih lama dan memulihkan diri sebelum kembali beraksi.

“Saya sukakan Kanada dan mempunyai ramai kawan di sana yang sering membuatkan saya berasa seperti di negara sendiri dan saya tidak sabar untuk kembali bermain di depan anda di Montreal.”

Penarikan diri Djokovic bermakna bintang Sepanyol, Rafael Nadal, yang juga pemenang 18 gelaran perseorangan Grand Slam, akan menjadi pilihan utama di Montreal apabila undian utama bermula pada 5 Ogos ini.

Nadal menang kejohanan di Kanada itu empat kali dan tampil sebagai juara bertahan selepas menang tahun lalu mengatasi Stefanos Tsitsipas pada aksi final.

Djokovic menang kejohanan di Kanada itu yang bertukar gelanggang antara Toronto dan Montreal empat kali, dua kali di setiap bandar raya – Toronto pada 2012 dan 2016 serta Montreal pada 2007 dan 2011.

Dia disingkirkan di Toronto tahun lalu oleh bintang muda Greece, Tsitsipas pada pusingan ketiga.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 12:02pm
d