arena

Shahrul mahu atasi rekod abang

Oleh Syazwan Msar

KETIKA kapten skuad Bos Gaurus Shahrul Mohd Saad diberikan misi besar menyekat kemaraan Kedah, pemain berkenaan turut mempunyai misi lain iaitu mengatasi rekod abangnya untuk menjulang lebih banyak piala.

Shahrul berkata, dia hanya selangkah mengatasi pencapaian abangnya Shamsul Saad yang pernah memenangi piala FA ketika bersama Perak pada 2004 dan kini tugasnya membawa kembali kejuaraan terbabit untuk skuad Bos Gaurus.

Shahrul antara pemain yang membantu Perak memenangi Piala Malaysia musim lalu akan memberikan persembahan terbaik untuk mengekang asakan lawan sekali gus memastikan kubu skuad Seladang terus kekal kebal.

Katanya, dia yang kini berada pada prestasi terbaik meletakkan perlawanan akhir Piala FA sebagai maruahnya yang diberikan tanggungjawab besar memastikan kejuaraan milik Perak. “Ini pencapaian terbaik bagi diri saya dan selalu bersembang bersama abang untuk mengetahui lebih banyak mengenai bola sepak. Walaupun saya menggalas tanggungjawab mempertahan gawang dibolosi namun turut ada matlamat iaitu mahu mengatasi pencapaian abang dengan menang lebih banyak piala.

“Esok perlawanan penting bagi kami dan berkaitan maruah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Perak sekali gus memerlukan untuk berjuang sehabis baik.”

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 9:55pm
d