arena

Liverpool terpikat aksi Doumbia

Oleh Agensi

LIVERPOOL dilaporkan memantau penuh minat pemain muda Sporting Lisbon, Idrissa Doumbia selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika kelab Portugal itu seri 2-2 menentang skuad Jurgen Klopp di Stadium Yankee, Rabu lalu.

Pemain tengah Ivory Coast berusia 21 tahun itu kini mendapat perhatian Klopp dalam usaha memperkasakan pasukan, menurut akhbar sukan Portugal, Record.

Bagaimanapun, sebarang potensi perpindahan Doumbia hanya pada masa depan dan bukan musim ini.

Doumbia beraksi 14 kali bersama Sporting musim lalu selepas berpindah dari kelab Rusia, Akhmat Grozny pada Januari lalu.

Liverpool menamatkan aksi jelajah di Amerika Syarikat dengan keputusan seri menerusi jaringan Divock Origi dan Georginio Wijnaldum.

Mereka gagal mencapai kemenangan dalam tiga perlawanan dengan beberapa pemain utama tidak beraksi akibat kecederaan atau bercuti.

Anak buah Klopp akan kembali beraksi menentang Napoli di Murrayfield pada Ahad ini dan kemudiannya ke Perancis untuk sesi latihan yang dijangka menyaksikan kehadiran semula Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Alisson.

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 11:58pm
d