arena

Costa mengamuk belasah Real

Oleh Reuters

DIEGO Costa meledak empat gol ketika Real Madrid diaibkan Atletico Madrid 3-7 pada perlawanan terakhir jelajah Amerika Syarikat di New Jersey hari ini.

Real menurunkan skuad terhebat mereka sekali lagi dengan pemain baharu mereka Eden Hazard dan Luka Jovic mengetuai jentera serangan dan Gareth Bale sekali lagi di bangku simpanan, namun mereka ketinggalan 0-5 pada separuh masa pertama.

Atletico menurunkan sejumlah pemain baharu, termasuk pemain termahal kelab Joao Felix yang segera memperdayakan Real menerusi serangan balas sebelum membantu Costa untuk jaringan awalnya pada minit pertama.

Felix yang dibeli pada harga 120 juta euro (RM550.3 juta) turut mencatat nama selaku penjaring gol tujuh minit kemudian sebelum Angel Correa yang menggantikan Alvaro Morata akibat kecederaan, mengejutkan Real dengan gol ketiga pada minit ke-19.

Saul Niguez memanfaatkan kepincangan pertahanan Real bagi membolehkan Costa meledak gol keempat pada minit ke-28.

Costa melengkapkan derita Real pada separuh masa pertama dengan menang penalti sebelum berjaya menyemprunakan jaringan.

Ia tidak terhenti di situ, apabila Felix sekali lagi mengumpan jaringan Costa enam minit selepas separuh masa kedua sebelum Nacho kemudiannya meledak gol buat Real selepas sejam perlawanan.

Amukan Costa bagaimapunpun berakhir apabila dia dan pemain Real Dani Carvajal, kedua-duanya dilayangkan kad merah kerana bergaduh, menambah drama pada aksi persahabatan itu.

Vitolo menambah jaringan ketujuh buat Atletico sebelum Karim Benzema dan Javi Hernandez menjaringkan gol lewat buat Real untuk mengelakkan kekalahan terbesar kepada pencabar setempat dalam perlawanan kompetitif.

Real pulang tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan di AS.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 11:18am
d