arena

Nurul Azurin tak sabar ke Jepun

Oleh Nazri Abu Bakar

PENJAGA gol wanita negara, Nurul Azurin Mazlan tidak sabar mendalami ilmu bola sepak di Jepun selepas diberi peluang menjalani latihan di negara terbabit pada September depan.

Selaku pemain utama skuad Melaka melakar sejarah membantu skuad terbabit menjuarai Piala Tun Sharifah Rodziah baru-baru ini, mengakui peluang itu amat bernilai dalam meningkatkan prestasi permainannya.

"Saya akan berlatih selama dua minggu di negara itu dijadualkan bermula pada 4 September yang dapat membantu meningkatkan keyakinan saya membantu kecemerlangan skuad negara.

"Malah ia memberi pendedahan positif buat saya untuk menambah kematangan dalam permainan serta skil penjaga gawang yang lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, sokongan ibubapa, penyokong, jurulatih dan rakan sepasukan dalam skuad Melaka dan kebangsaan turut menyuntik semangatnya memberikan yang terbaik setiap kali beraksi.

Justeru, pemilihannya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) amat dihargai dan pastinya tidak akan dipersiakan amanah yang diberikan.

Sebaik pulang dia akan berkongsi idea dan pengalaman dengan rakan sepasukan dan bakat baharu bagi bersama-sama membantu kecemerlangan pasukan negara pada masa depan.

Awal tahun ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) bagi mewujudkan kerjasama teknikal, pembangunan belia dan kejurulatihan.

Kerjasama membabitkan kepentingan serta pembangunan termasuk bola sepak wanita selain pentadbiran, pengkomersilan dan penajaan pendapatan itu antara langkah postif di bawah badan bola sepak negara.

Disiarkan pada: July 27, 2019 @ 7:01pm
d