arena

Rodri cemerlang: Guardiola

Oleh Agensi

PEP Guardiola mendakwa Rodri mampu menggalas tugas pemain tengah bertahan Manchester City untuk tempoh sedekad.

City memecahkan rekod perpindahan kelab apabila memulakan klausa pelepasan kontrak Rodri di Atletico Madrid dengan bayaran €70 juta (RM321.4 juta).

Pemain Sepanyol itu segera mencipta impak ketika aksi pramusim ketika skuad Guardiola melengkapkan aksi pemanas badan musim 2019-2020 dengan kemenangan 3-1 ke atas Yokohama F Marinos malam tadi.

Kevin De Bruyne menjaringkan gol pembukaan dan kemudiannya mencipta gol kedua yang disempurnakan Raheem Sterling sebelum Lukas Nmecha memastikan kemenangan dengan gol ketiga.

City kini bersiap sedia untuk aksi pembuka tirai musim baharu menentang Liverpool dalam Perisai Komuniti hujung minggu depan di mana Guardiola menjangkan Rodri terus cemerlang.

“Kevin mempamerkan satu lagi permainan hebat,” kata Guardiola.

“Adalah penting untuk memiliki kualiti sepertinya dengan kemampuan melakukan hantaran terakhir ketika lawan mengkukuhkan pertahanan mereka.

“Namun Rodri menakjubkan hari ini. Kami tahu tetapi hari ini saya boleh pastikan kepada anda kami mempunyai pemain tengah bertahan untuk dekad seterusnya, atau setidak-tidaknya ketika dia berada di sini.

“Bernardo Silva juga sudah kembali ke tahap normal. Sterling terus cemerlang manakala John Stones dan Aymeric Laporte juga sudah kembali. Pemain ini bermain dengan baik dalam perlawanan hari ini.”

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 12:11pm
d