arena

Peminat mahukan yang terbaik

Oleh Dropshot Bersama Datuk Seri Jalani Sidek

SEPANJANG dua minggu ini kita dihidangkan dengan aksi menarik. Pertama sekali Terbuka Indonesia minggu lalu dan kemudian Terbuka Jepun yang berlangsung ketika ini.

Paling menarik perhatian saya adalah perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Namun dia melalui dua cerita berbeza apabila minggu lalu mara ke suku akhir tetapi di Jepun tersingkir seawal pusingan pertama - ketika Datuk Misbun Sidek kali pertama tidak lagi membimbingnya.

Adakah ini bahana keputusan mengejutkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang melakukan penstrukturan semula apabila tidak meletakkan Zii Jia di bawah seliaan Misbun lagi?

Saya tidak pasti. Tapi ada kemungkinan juga. Rejim latihan Misbun dengan jurulatih lain sememangnya tidak sama.

Bukan mengheret agenda peribadi atau keluarga, namun saya tertanya-tanya mengapa Misbun yang masih belum memenuhi indeks petunjuk prestasi utama (KPI) untuk memastikan anak didiknya layak ke Sukan Olimpik sudah diberi tugasan mendidik pemain lain pula.

Kalau jurulatih lain mengalami nasib sama seperti Misbun pun saya tetap mempersoalkan perkara sama.

Saya juga tertanya-tanya gagalkah Misbun sepanjang membimbing Zii Jia? Ketika kali pertama Misbun mendidik Zii Jia, pemain itu menghuni kelompok ranking 80 ke atas tetapi ketika ini dia sudah selesa di kedudukan ke-15 dunia.

Ada cakap-cakap supaya Misbun ketepikan egonya. Kalau ego Misbun itu tinggi, beliau sudah menolak tawaran BAM tetapi sebaliknya sekarang masih setia dengan badan induk itu meskipun diberi tugas baru membimbing pemain muda.

Tidakkah yang ego itu BAM sendiri apabila melakukan keputusan yang pada pandangan saya kurang relevan.

Kalau benar Misbun gagal dan tidak mencapai KPI, memang elok pun beliau kena tendang. Tapi soalnya seperti saya katakan tadi KPI belum dicapai, penstrukturan semula sudah dilakukan.

Baiklah, dengan meletakkan Misbun menjaga pemain muda, saya harap BAM juga bersikap adil dengan memberi peluang kepada mereka menyertai kejohanan luar.

Kalau tidak sertai kejohanan seperti yang berlaku dalam kalangan pemain muda sebelum ini, bagaimana hendak memperbaiki kedudukan ranking seterusnya memperoleh peluang beraksi di kejohanan lebih besar.

Bukan nak marah-marah. Tapi pada akhirnya kita mahukan yang terbaik daripada jurulatih dan pemain. Jumpa lagi!

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 5:47pm
d