arena

'Sapa tak mau main final...'

Oleh Firdaus Hashim

"SAKIT memang sakit, tapi sapa tak mau main di final".

Itulah pengorbanan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim yang terpaksa menahan kesakitan sepanjang aksi final Piala FA menentang Perak menyaksikan pengorbanannya itu berbaloi melakar kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Malah, pengumuman namanya selaku Pemain Terbaik Final melengkapkan lagi malam penuh gemilangnya selaku pemain profesional.

"Kecederaan saya alami itu sakit, tapi sapa tak mau main final. Jadi saya buat yang habis baik untuk bermain pada malam ini (semalam).

"Saya tak sangka dapat main malam ini sebab tiga perlawanan saya terlepas.

Terima kasih kepada jurulatih juga kerana bagi saya main malam ini," katanya.

Jelas pemain kebangsaan itu, kejuaraan Piala FA kali ini akan diingati antara final terbaik yang pernah dilaluinya termasuk muncul juara Piala FA 2017 dan Piala Malaysia pada 2016.

Katanya, dengan masalah kecederaan yang menghantuinya sebelum final selain kehilangan tonggak utama seperti Renan Alves, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sebenarnya ibarat sebuah pasukan tempang di pentas akhir itu.

"Saya takkan lupakan perlawanan ini, saya rasa saya sudah beri sehabis baik begitu juga dengan rakan-rakan.

Selepas ini saya kena tingkatkan lagi prestasi untuk menghadapi Piala Malaysia pula," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 6:19pm
d