arena

Tempoh genting dua bulan

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS pulang tangan kosong di Kejohanan Remaja Asia di Suzhao, China, ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng berharap mereka boleh mempersiapkan pasukan dengan lebih baik dalam tempoh dua bulan menjelang Kejohanan Remaja Dunia.

Menurutnya, bedah siasat mengenai segala kelemahan pemain remaja akan dilakukan segera kerana mereka hanya mempunyai tempoh terhad untuk meraih keputusan lebih bagus di Kazan, Russia.

"Dalam tempoh 10 hari kejohanan ini termasuk acara berpasukan campuran, saya rasa pemain memberikan persembahan sederhana.

Ada juga di antara mereka yang datang ke sini memberikan aksi di bawah keupayaan sebenar," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Ujarnya, pemain yang berjaya mara ke suku akhir dalam acara individu berjaya memberikan persembahan terbaik cuma tumpas disebabkan berdepan lawan lebih hebat dan berpengalaman.

"Apa pun mereka ini memerlukan lebih banyak pendedahan jika mahu setanding pemain dari negara seperti China, Korea Selatan, Indonesia termasuk Taiwan.

"Bagaimanapun, saya kecewa dengan persembahan perseorangan wanita dalam acara individu kerana mereka sepatutnya memberikan tentangan lebih sengit kepada pemain lawan.

Undian yang mereka peroleh pula sebenarnya seimbang," kata Yoke Meng.

Beliau juga mengakui perseorangan lelaki kurang bernasib baik kerana undian tidak memihak kepada mereka selepas terpaksa berdepan pemain pilihan dari China dan Indonesia.

"Kita akan memperkemaskan kembali mereka untuk aksi lebih mantap dan mendapat keputusan cemerlang di Kejohanan Remaja Dunia," katanya. Dalam pada itu Yoke Meng berpuas hati dengan pemain muda bawah 17 tahun seperti Fazriq Razif dan lain-lain.

"Mereka memang tumpas di pusingan kedua namun ia satu pendedahan berguna buat mereka. Kita tahu mereka masih kurang kekuatan, stamina, kepantasan dan daya tahan jangka panjang," katanya.

Tahun lalu di Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada, Malaysia berjaya meraih satu emas melalui perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan satu perak hasil gandingan mantap beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei.

Disiarkan pada: July 28, 2019 @ 6:55pm
d