arena

Kedah mahu bersaing peringkat Asia [METROTV]

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

KEDAH mahu memberi saingan di peringkat Asia dan tidak hanya mahu gah sebagai jaguh kampung selepas menjuarai Piala FA.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Lang Merah perlu bekerja lebih keras dan meningkatkan prestasi permainan selepas layak ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

“Di peringkat ini terdapat pasukan yang tahapnya sangat tinggi, bertaraf antarabangsa.

“Jika dulu kita boleh kalahkan pasukan dari Korea tetapi sekarang ini agak sukar dan perlu bekerja lebih keras,” katanya di Alor Setar, hari ini.

Tiket ke Asia itu menjadi impian Kedah selepas terpaksa berputih mata apabila slot mereka ke Asia ditutup meskipun menjuarai Piala FA 2017 selepas didapati gagal memenuhi kriteria pelesenan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Mukhriz ditemui media selepas meraikan sambutan Piala FA di Wisma Darulaman.

Pada majlis berkenaan, lebih 500 penyokong hadir menyambut ketibaan pemain Lang Merah selepas perarakan Piala FA sekitar bandaraya itu.

Mengulas lanjut mengenai prestasi pemain, Mukhriz berkata pihak pengurusan menyerahkan 100 peratus kepada Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Ishak.

“Kita tidak akan campur tangan dan serahkan tanggungjawab itu kepada beliau.

“Jika dia rasakan prestasi pemain ada yang tidak konsisten dan mahu buat perubahan, beliau boleh kemukan cadangan dan kami akan luluskan. Beliau ada kebebasan,” katanya.

Mengenai imbuhan selepas memenangi piala berkenaan, Mukhriz berkata ia akan diberikan kepada pemain dalam tempoh terdekat dan jumlahlah hanya KFA serta pemain mengetahuinya.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 5:32pm
d