arena

Shukur idam Terengganu tewaskan PKNS

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS dinaikkan 'pangkat' daripada skuad Terengganu FC II (TFC II), Shukur Jusoh mengidam untuk membantu pasukan barunya, Terengganu FC (TFC) mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Bekas pemain Harimau Muda A itu bertekad mahu disenaraikan dalam kesebelasan utama TFC menjelang aksi pertama piala berprestij itu menentang PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Jumaat ini.

Bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu berazam untuk meledak gol pertama musim ini selepas gagal melakukannya dalam saingan liga ketika dipinjamkan mewakili skuad 'abang' TFC ataupun ketika mewakili bekas pasukannya.

“Harap perlawanan pertama ini kami mampu mengutip tiga mata sebab biasanya peringkat kumpulan perlawanan pertama agak sukar.

“Jika diberi peluang, saya mahu membarisi skuad menentang pasukan Semut Merah membantu kemenangan dan mara lebih jauh sebagaimana ke final musim lalu,” katanya.

Musim ini pemain yang pernah menyarung jersi ATM, Selangor dan FELDA United itu dua kali dinaikkan 'pangkat' untuk membantu skuad Penyu dalam saingan Liga Super.

Saingan Piala Malaysia menjadi medan terbaik buat pemain berusia 30 tahun itu membuktikan kemampuan sebenarnya untuk terus kekal membarisi skuad utama negeri pada musim depan.

Shukur menyatakan kombinasi semua pemain di setiap posisi bakal menjadi aset berharga buat skuadnya.

“Corak permainan teratur dan cantik bermula dari bahagian bawah hingga ke barisan serangan menjadi faktor kebangkitan pasukan,” ujar Shukur mengakui selesa dengan pendekatan diterapkan pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain yang mengamalkan corak permainan hantaran pendek.

Disiarkan pada: July 29, 2019 @ 7:27pm
d