arena

Rafiq raih gelaran keenam

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

JAGUH boling negara, Rafiq Ismail menambah koleksi kejuaraan keenamnya tahun ini apabila menjuarai kategori beregu dalam Kejohanan Boling Antara Negeri ke-32 di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, hari ini.

Ketinggalan di tempat ketiga sehingga perlawanan ketiga, gandingan Rafiq dan pemenang pingat emas acara beregu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Muhd Syafiq Ridhwan, bangkit untuk mengungguli tiga perlawanan berikutnya dengan mengumpul keseluruhan 2,687 jatuhan pin.

Kejayaan itu menceriakan skuad Kuala Lumpur manakala pingkat perak milik Selangor menerusi gandingan Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Fisol yang mengumpul 2,553 jatuhan pin diikuti Brandon Ting dan Chong Jun Foo dari Sarawak dengan 2,510 jatuhan pin untuk pingat gangsa.

Menurut Rafiq keseluruhannya dia berpuas hati dengan permainannya biarpun hilang fokus untuk dua perlawanan awal apabila mencatat bawah 200 jatuhan pin sebelum kembali mendapat rentak selepas itu dengan mengumpul 297 jatuhan pin di perlawanan kelima dan keseluruhan 1,279.

"Dua game awal saya saya hilang fokus dan selepas minta saranan dan berbincang dengan Syafiq permainan saya semakin baik. Memang saya puas hati bergandingan dengan Syafiq yang banyak membantu untuk kemenangan ini," katanya yang turut mengungguli acara individu lelaki, hari ini.

Untuk rekod ini kejuaraan keenam Rafiq selepas menjuarai Terbuka Singapura pada akhir Jun, disusuli Masters Jelajah Boling Eropah (EBT) Madrid beberapa hari kemudian, sebelum menjuarai Terbuka Hong Kong dan Masters Jelajah Boling Asia di Hong Kong minggu lalu.

"Alhamdulillah prestasi saya memang meningkat dan yakin terpilih biarpun belum ada pengumuman atlet ke Sukan SEA.

"Apa-apa pun saya ingin pertahankan kejuaraan saya dan berikan yang terbaik dalam kejohanan tertutup pada Ahad ini kerana ia disertai semua atlet boling dan akan diambil kira (pemilihan skuad negara)," katanya.

Sementara itu, Muhd Syafiq yang juga pemenang pingat emas Kejohanan Piala Dunia Qubica AMF 2012 amat berpuas hati terhadap permainannya hari ini (semalam) berbanding aksi acara individu semalam (kelmarin).

Katanya, selepas dua tahun mereka tidak beraksi di kejohanan boling antara negeri, kejayaan diraih itu amat bermakna.

"Nak ikutkan permainan saya hari ini tidak begitu bagus, tapi hari ini sangat bagus. Saya begitu fokus dan peka terhadap lorong ketika membuat balingan dan bermain tanpa tekanan.

"Apa-apa berlaku di lorong, saya buat perubahan. Itu yang membantu saya membuat balingan yang baik.

"Memang saya puas hati apatah lagi ini kali kedua gandingan kami menghasilkan pingat emas selepas 2016," katanya yang mencatat keseluruhan 1,408 jatuhan pin.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 7:21pm
d