arena

PABM yakin angkat berat 'bersih'

Oleh Azlan Muhammad Zain

PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) berharap tiada ‘kejutan’ kesalahan doping dari atletnya yang bersaing di Sukan SEA Filipina nanti.

Selepas membuat keputusan tidak menyertai sebarang pertandingan antarabangsa pada tahun lalu, mereka mengharapkan ia mampu dikekalkan pada temasya dwi tahunan itu.

Naib Presiden PABM, Amirul Amizan Ibrahim menaruh keyakinan atlet negara yang terpilih menggalas cabaran ‘bersih’ bagi menghadapi edisi ke-30 kali ini.

"Saya fikir atlet elit serta yang berada di Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai masalah.

Sejak awal tahun sudah 10 ujian mengejut dijalankan terhadap mereka.

"Malah Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (pemenang emas Sukan Komanwel 2018) pernah diuji dua kali berturut-turut dalam tempoh dua bulan. Setakat ini tiada masalah," kata bekas atlet negara itu.

Tambahnya, atlet negara perlu mengisi maklumat keberadaan (whereabouts) seperti jadual pertandingan dan lokasi setiap tiga bulan bagi membolehkan mereka layak bertanding di peringkat antarabangsa.

Angkat berat sering dibayangi masalah doping sehingga memaksa PABM pada Mei tahun lalu membuat keputusan tidak menghantar atletnya menyertai sebarang kejohanan antarabangsa dalam tempoh setahun.

Mengulas mengenai penyertaan di Filipina, beliau menjelaskan mereka mahu menyertai semua kategori yang dipertandingkan iaitu empat lelaki dan enam wanita.

"Kami meletakkan sasaran satu perak dan satu gangsa. Bagaimanapun berdasarkan peraturan hanya satu peserta untuk setiap kategori, peluang meraih pingat kini lebih cerah kepada wanita," tambahnya.

Disiarkan pada: July 30, 2019 @ 7:57pm
d