arena

Giliran Tottenham malukan Real Madrid

Oleh AFP

KEMPEN pramusim Real Madrid terus mengundang keresahan penyokong mereka selepas tewas kepada Tottenham 0-1 dalam aksi Piala Audi di Munich, awal pagi tadi.

"Kami memang layak kalah perlawanan ini,” kata pemain tengah Real, Tony Kroos kepada TV Jerman selepas tamat perlawanan. “Memang benar kami tidak berada dalam keadaan terbaik.”

Harry Kane menjaringkan gol kemenangan pada babak pertama selepas memanfaatkan kesilapan Marcello yang kurang cermat melakukan hantaran pada minit ke-22.

Real hampir mengulangi kekalahan besar 3-7 kepada Atletico Madrid minggu lalu, namun ketangkasan penjaga gol, Keylor Navas yang mengambil alih tugas Thibaut Courtois akibat kecederaan mengelak gawang mereka daripada dibolosi lebih banyak jaringan.

Jentera serangan Spurs lebih agresif mengasak kubu Real pada babak pertama dan selepas rehat Dele Alli hampir menambah jaringan Spurs dan percubaan pemain berusia 17 tahun, Troy Parrott terkena jaring sebelah luar.

Skuad Zinedine Zidane kini melepaskan 13 gol dan tewas tiga kali dalam tiga aksi pemanas badan mereka.

"Kami memulakan perlawanan dengan buruk dan lawan pantas menghukum kesilapan kami,” kata Kroos.

Dengan Gareth Bale yang tidak berada di Munich susulan kemelut perpindahan dan James Rodriguez turut tersisih, Real jarang mengancam kubu Spurs. Bintang baharu mereka, Eden Hazard turut ‘tenggelam’.

Kedua-dua pasukan akan beraksi sekali lagi esok. Tottenham akan menentang pemenang di antara Bayern dan Fenerbahce. Real pula berpeluang mengubati duka apabila menentang pasukan yang kalah.

Skuad Zidane akan terbang ke Austria menentang Salzburg pada 6 Ogos ini dan berkunjung ke Itali menentang AS Roma bagi aksi persahabatan terakhir sebelum memulakan aksi La Liga berdepan Celta Vigo di tempat lawan pada 17 Ogos.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 7:11am
d