arena

Soniia bergelut sebelum mara

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS berjaya melepasi pusingan pertama dalam dua kejohanan berturut-turut, pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah hampir dimalukan pemain tuan rumah, Supanida Katethong pada Terbuka Thailand, hari ini.

Bagaimanapun, dia tenang untuk melakar hatrik melangkah ke pusingan kedua selepas bertarung selama satu jam di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok.

Soniia bangkit daripada tumpas set pertama untuk melakar kemenangan 11-21, 21-14, 21-19 dan berdepan pemain China, He Bing Jiao pada pusingan kedua esok.

“Saya gembira dapat memenangi perlawanan hari ini. Bagaimanapun Supanida beraksi dengan baik. Secara keseluruhan ia bukan kemenangan mudah dan saya akan teruskan aksi yang sama pada pusingan kedua,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, rentak cemerlang beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang mara dua kali berturut-turut ke separuh akhir kejohanan itu berkecai.

Mereka yang juga pilihan kelima ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponnappa selepas kalah 18-21, 21-18, 17-21.

Sebelum ini pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia dan Jepun.

Turut pulang awal pemain perseorangan profesional, Liew Daren yang kalah 13-21, 16-21 di tangan Ng Ka Long dari Hong Kong.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 6:48pm
d