arena

Negeri Sembilan 'rehatkan' Mat Zan

Oleh Mohd Amin Jalil

PENGURUS Negeri Sembilan, Mohd Khairollah Abdul Latif mengesahkan ketua jurulatih pasukan itu, Mat Zan Mat Aris direhatkan sementara daripada mengendalikan latihan.

Menurutnya, aksi Liga Perdana menentang UiTM FC di Shah Alam pada 20 Julai lalu apabila mereka seri 1-1 adalah tugasan terakhir Mat Zan.

“Saya mengesahkan Mat Zan direhatkan sementara daripada mengendalikan latihan pasukan Negeri Sembilan bermula Rabu minggu lalu.

“Ketika ini latihan pasukan dikendalikan penolong jurulatih, Zaki Sheikh Ahmad dan dibantu jurulatih skuad Piala Presiden, Sazali Saidon.

“Pasukan sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula Sabtu ini dan setakat ini latihan berjalan lancar tanpa masalah,” katanya di Seremban, hari ini.

Mat Zan yang pernah membimbing Terengganu dan Melaka dilantik mengendalikan skuad Hobin Jang Hobin sejak akhir tahun lalu dan di bawah bimbingannya, mereka menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga keenam.

Disiarkan pada: July 31, 2019 @ 9:23pm
d