arena

Zii Jia mara, beregu campuran kandas

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melangkah ke pusingan kedua Terbuka Thailand selepas menumpaskan pilihan kelapan dari India, Sameer Verma di Bangkok, malam ini.

Zii Jia bangkit daripada tumpas set pertama sebelum menang 21-23, 21-11, 21-5 dalam masa 52 minit dan akan berdepan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto pada pusingan kedua.

Dua pemain itu akan bertemu sesama sendiri buat kali pertama dan pemenang dijangka berdepan jaguh China, Lin Dan pada suku akhir.

Sementara itu, dua beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terpaksa pulang awal selepas kedua-duanya tumpas di tangan gandingan Indonesia.

Soon Huat-Shevon tewas di tangan pilihan keenam Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja 21-19, 19-21, 16-21 manakala Kian Meng-Pei Jing kalah 23-25, 8-21 kepada Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 12:50am
d