arena

Jaringan Wilson, Pedro gamatkan stadium

Oleh AFP

PEMAIN Wales, Harry Wilson menjaringkan gol menarik ketika Liverpool menewaskan Lyon 3-1 dalam aksi persahabatan di Geneva, awal pagi tadi .

Wilson yang menghabiskan musim lalu sebagai pemain pinjaman di Derby merembat gol ketiga Liverpool dari jarak 25 meter pada minit ke-53 selepas Liverpool menyamakan kedudukan menerusi Roberto Firmino dan jaringan sendiri Joachim Andersen.

Perlawanan itu yang terakhir buat juara Eropah sebelum berdepan Manchester City dalam aksi pembuka tirai Liga Perdana di Wembley, Ahad ini.

Liverpool turut meraikan kehadiran semula Mohamed Salah yang beraksi kali pertama susulan komitmen bersama Mesir dalam Piala Negara Afrika.

Klopp berkata masih terlalu awal menetapkan sama ada Firmino yang turun kali pertama beraksi selepas tamat Copa America atau Salah akan disenaraikan menentang City.

"Saya tak kata 100 peratus tidak, peluang tetap ada untuk mereka beraksi. Kami perlu tunggu reaksi mereka esok, latihan sekarang bukan pada intensiti tinggi," kata Klopp dalam liverpoolfc.com.

Pemain Chelsea, Pedro menjaringkan gol yang pasti menjadi ingatan menerusi kuisan ke belakang selepas mendapat hantaran Ross Barkley ketika Chelsea menewaskan Salzburg 5-3.

Christian Pulisic menjaringkan dua gol manakala Barkley dan Michy Batshuayi turut menembusi gawang lawan.

Arsenal pula menewaskan kelab Perancis, Angers 4-3 menerusi penentuan penalti selepas seri 1-1 dalam masa sebenar di Perancis.

Angers mendahului menerusi pemain Algeria, Farid El Melali sebelum Reiss Nelson menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 8:01am
d