arena

Penyu tenang tanpa enam tonggak

Oleh Malik Muhamad

CABARAN getir bakal dilalui Terengganu FC (TFC) berdepan PKNS dalam aksi pertama saingan Piala Malaysia selepas enam pemain utama tidak dapat diturunkan malam esok.

Ketiadaan enam tonggak itu termasuk kapten, Lee Tuck yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah pada aksi terakhir Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), 19 Julai lalu sudah pasti merencatkan perancangan pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk mengutip mata pertama dalam aksi Kumpulan A itu yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Selain 'enjin' skuad Penyu itu yang tidak dapat beraksi, lima lagi pemain termasuk penyerang, Abdul Malik Mat Ariff, Mohd Ashari Samsudin, Khairul Anwar Shahrudin, Ahmad Syamim Yahya dan pemain import dari Kemboja, Thierry Chantha Bin juga terpaksa menjadi 'penonton' kerana mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Nafuzi tetap tenang selain menyatakan situasi itu tidak begitu membimbangkan kem pasukannya biarpun mengakui sedikit terasa kehilangan pemain berkenaan.

"Perancangan kita seperti biasa biarpun tanpa enam pemain itu, namun ketiadaan Tuck sedikit dirasai kerana pemain itu tonggak utama pasukan, harap pemain yang bakal diturunkan nanti mampu beraksi dengan baik," ujar Nafuzi.

Mengulas lanjut, Nafuzi tidak menafikan peningkatan permainan skuadnya dalam lima aksi terakhir Liga Super adalah detik kebangkitan pasukannya.

"Peningkatan prestasi itu adalah perkembangan positif terutama dari aspek segi bertahan dan situasi 'set- piece' terutama dengan kehadiran Serhii Andrieiev.

“Justeru pemain harus menyekat serangan lawan bermula dari barisan tengah lagi bagi mengelak penyerang utama PKNS yang juga penjaring terbanyak Liga Super, Kpah Sherman daripada begerak bebas," ujar Nafuzi yang berazam untuk mengulangi pencapaian mara ke final sebagaimana musim lalu.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 12:05pm
d