arena

'Kinta Express' dalam radar Cheng Hoe

Oleh Firdaus Hashim

PENGENDALI Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengakui terpikat dengan aksi mantap tonggak tengah Perak, J Partiban dan membayangkan akan memanggilnya bagi persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5 dan 10 September ini.

Partiban, 26, yang tidak pernah membuat penampilan bersama skuad senior berjaya memikat hati Cheng Hoe terutamanya sepanjang aksi dalam saingan Liga Super serta final Piala FA menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Kelibatnya dijangka bakal diuji pada aksi pemanas badan berdepan Jordan di Stadium Shah Alam pada 30 Ogos ini sebelum terbang ke Indonesia bagi aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia nanti.

"Ramai peminat mengatakan Partiban bermain begitu baik dan saya sendiri pun nampak (permainan cemerlang Partiban).

Bukan perlawanan akhir (Piala FA) saja, malah dalam liga (Liga Super) pun dia bermain agak konsisten dengan persembahannya.

"Teruskan dengan aksi sebegitu dan tak mustahil saya akan memanggilnya dan harap dia dapat pamerkan aksi sebenar," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Dengan kehadiran Partiban yang digelar 'Kinta Express' itu, ia akan memberi pilihan tambahan buat skuad kebangsaan khususnya di posisi tengah kanan dan bakal menyaksikan persaingan sihat membabitkan Partiban, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Selain Partiban, pengendali berusia 51 tahun itu turut bercadang untuk menyenaraikan semula ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yang sebelum ini diketepikan dalam beberapa tugasan antarabangsa.

"Bagi saya, Baddrol Bakhtiar bermain dengan begitu baik. Saya bukan hanya bagi peluang kepada dia sahaja. Semua orang saya akan bagi peluang.

"Setiap pemain yang berpotensi, tidak kira pemain muda atau senior, semua akan diberi peluang jika bersesuaian dengan pasukan," katanya.

Selepas aksi pertama menentang Indonesia, Harimau Malaya bakal menerima kunjungan UAE pada 10 September sebelum menamatkan pusingan pertama dengan berkunjung ke Vietnam, 10 Oktober dan Thailand pada 14 November di halaman sendiri.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 3:12pm
d