arena

Laporan media tak tepat - Sonny Bill

Oleh Reuters

SONNY Bill Williams meluahkan rasa kecewanya terhadap media kerana melaporkan dirinya berdepan tekanan untuk mendapat tempat dalam skuad All Blacks menjelang Piala Dunia di Jepun.

Williams yang akan berumur 34 tahun, Sabtu ini, bergelut dengan kecederaan sejak dua bulan lalu, dikekalkan dalam skuad Steve Hansen yang diperkecilkan, semalam tetapi direhatkan untuk berdepan Australia pada final Kejuaraan Ragbi di Perth, minggu depan.

Skuad New Zealand menyenaraikan bahagian tengah yang cergas dan berkualiti tinggi termasuk Jack Goodhue, Ngani Laumape dan Anton Lienert-Brown.

Media tempatan dalam laporan mempertikaikan pilihan Hansen sama ada perlu menyenaraikan pemain pernah menjulang Piala Dunia sebanyak dua kali.

Williams yang akan dihantar pulang untuk aksi wilayah tempatan untuk dua minggu selepas ini hanya akan kembali menyertai skuad untuk perlawanan test Wallabies di Auckland, menjelaskan dia sudah letih dengan spekulasi media.

“Kepada sesiapa mengatakan saya berdepan tekanan beraksi dalam permainan yang sebati dengan diri saya, sila betulkan pandangan anda,” katanya di Twitter.

“Lihat apa yang berlaku sekarang di dunia. Kanak-kanak kelaparan, ibu tunggal membesarkan tiga anak, keganasan terhadap pelarian di seluruh dunia dan perkauman. Itulah yang saya katakan tekanan.”

Williams turut memberitahu tweet tersembunyi didedahkan oleh media.

“Saya mendapati ia sesuatu menarik apabila perbualan dikatakan rahsia akhirnya dibocorkan kepada media,” tulisnya sambil menyertakan petikan kata-kata aktivis kemanusiaan, Malcolm X.

Williams mengakui benar-benar rindu untuk beraksi bersama skuad Super Rugby diwakilinya, Auckland Blues musim ini selepas menjalani pembedahan lutut tetapi kembali kepada arena dengan menyarung jersi angka 12 ketika seri 16-16 menentang Afrika Selatan di Wellington, minggu lalu.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 6:26pm
d