arena

Heaton sertai Villa dari Burnley

Oleh Reuters

ASTON Villa mengikat penjaga gol Tom Heaton dari Burnley, menurut kelab pendatang baharu Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Butiran mengenai yuran perpindahan tidak diumumkan, namun media Britain melaporkan Villa membayar kira-kira £8 juta (RM40 juta) terhadap pemain berusia 33 tahun itu, yang melakukan 22 penampilan buat Burnley dalam semua pertandingan musim lalu.

“Saya gembira Tom menyertai Aston Villa,” kata ketua jurulatih Dean Smith kepada laman web rasmi kelab itu.

“Dia bertindak fantastik bersama Burnley sejak beberapa tahun lalu dan pengalaman serta pengetahuannya mengenai Liga Perdana menjadi aset utama kami musim ini.”

Heaton lahir dari akademi Manchester United namun tidak pernah bermain dengan pasukan senior kelab itu. Dia menyertai Burnley pada 2013 dan melakukan 96 penampilan Liga Perdana setakat ini.

Penjaga gol itu adalah pembelian ke-11 Villa pada hari perpindahan yang sibuk ketika kelab berpangkalan di Birmingham itu bersiap sedia untuk kembali bermain dalam liga utama selepas tiga tahun menghilang.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 7:08pm
d