arena

Cherries ikat Danjuma lima tahun

Oleh Reuters

BOURNEMOUTH mengikat pemain sayap kebangsaan Belanda, Arnaut Danjuma dari kelab Belgium, Bruges, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu hari ini.

Dia menjadi pembelian keempat pasukan kendalian Eddie Howe menjelang musim baharu selepas Lloyd Kelly, Jack Stacey dan Philip Billing.

Bournemouth tidak mendedahkan yuran perpindahan pemain berusia 22 tahun itu namun media Belgium melaporkan dia menandatangani kontrak lima tahun dengan kos sekitar 15 juta euro (RM68.6 juta).

Danjuma lahir daripada akademi PSV Eindhoven sebelum menyertai NEC Nijmegen pada 2016.

Tahun lalu dia berpindah ke Bruges dan ketika semusim di sana membantu mereka muncul naib juara liga Belgium, menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara dan melakukan penampilan sulung antarabangsa bersama Belanda.

“Hadir ke AFC Bournemouth satu langkah yang cukup bagus buat saya,” kata Danjuma kepada saluran TV kelab itu.

“Liga Perdana satu tempat hebat untuk bermain bola sepak, terutama di kelab seperti ini. Saya fikir cara pasukan bermain sesuai dengan gaya saya, saya suka menyerang dan tidak sabar untuk bermula.”

Bournemouth memulakan kempen musim baharu hujung minggu depan di laman sendiri menentang Sheffield United.

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 8:35pm
d