arena

Idam tukar warna pingat

Oleh Firdaus Hashim

KEPUTUSAN Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan skuad bola sepak bawah 23 (B-23) tahun negara dalam kategori A di Sukan SEA Filipina hujung tahun ini bukanlah bebanan atau tekanan, sebaliknya ia pembakar semangat buat pasukan menyerlah pada temasya dwi tahunan itu kelak.

Ketua pasukan B-23 negara, Safawi Rasid berkata, ia adalah penghormatan terbesar buat pasukan negara dan dia percaya rakan sepasukannya akan tampil lebih ampuh pada saingan itu.

“Terima kasih kepada MOM kerana percaya kepada kami (skuad B-23) dan kami akan cuba berikan aksi terbaik di Sukan SEA.

“Sudah tentu saya dan rakan-rakan ingin menukar warna pingat daripada pingat perak (Sukan SEA 2017) dua tahun lalu kepada pingat emas. Keputusan memberi kami tiket kategori A akan menaikkan semangat kami untuk bermain sehabis baik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, MOM meletakkan harapan besar kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee dengan menyenaraikan mereka berada dalam kategori A iaitu semua perbelanjaan ditanggung bagi temasya itu.

Kali terakhir skuad B-23 tersenarai dalam kategori itu adalah dalam Sukan SEA Palembang 2011 yang menyaksikan pasukan berjaya menggenggam ‘ibu segala pingat’ selepas menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Malah dua tahun sebelum itu juga, skuad negara berjaya meraih pingat emas di temasya yang berlangsung di Laos.

Mengulas mengenai peluang negara di Filipina kelak, Safawi yang juga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) yakin sasaran mara ke final yang diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mampu dicapai.

“Dominic Tan, Akhyar Rashid, Syahmi Safari dan lain-lain adalah pemain dua tahun lalu. Kalau ikutkan hampir separuh pasukan dua tahun lalu boleh lagi bermain tahun ini.

“Jadi kami dah serasi bermain bersama dan rasanya tak ada masalah untuk pasukan menyerlah. Saya sendiri inginkan pingat emas sebab ini adalah penampilan terakhir saya kerana dua tahun lagi umur saya sudah 24 tahun dan tak boleh main lagi,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 6:30am
d