arena

Razie wira Malaysian Tigers atasi Sepanyol

Oleh Saiful Affendy Sapran

SKUAD hoki lelaki negara bermula cemerlang pada saingan empat penjuru di Terrassa apabila menewaskan tuan rumah Sepanyol 4-3, awal pagi tadi.

Ia kemenangan pertama skuad negara ke atas Sepanyol sepanjang lapan perlawanan terakhir.

Malaysia yang tewas 0-1 kepada lawan sama pada perlawanan persahabatan sebelum ini, bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum meraih kemenangan bermakna ke atas pasukan ranking kesembilan dunia itu.

Dua gol awal Sepanyol itu disumbangkan Xavi Lleonart dan Albert Beltran menerusi jaringan padang minit ke-10 dan 24.

Penyerang skuad negara, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil merapatkan jurang seminit kemudian hasil pukulan sudut penalti.

Minit ke-36 menyaksikan Alvaro Iglesias mengukuhkan kedudukan Sepanyol dengan gol ketiga namun penyerang negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi kembali merapatkan jurang minit ke-49 berpunca dari pukulan sudut penalti.

Malaysian Tigers mencipta kebangkitan di hujung perlawanan apabila penyerang muda negara, Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol padang minit ke-60.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim meraih gol kemenangan skuad negara beberapa saat selepas itu.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 8:08am
d