arena

Amaran awal Ashleigh, Ko kekal momentum

Oleh Reuters

PEMAIN Afrika Selatan, Ashleigh Buhai mendahului pusingan pertama Terbuka British Wanita ketika pemain Korea Selatan, Ko Jin-young turut bermula baik dalam misi menjuarai dua kejohanan utama berturut-turut, awal pagi tadi.

Ashleigh melakukan lapan birdie dengan tujuh di atas par 65 di Milton Keynes.

Dia mengatasi pemain Amerika Syarikat, Danielle Kang dan pemain Jepun, Shibuno Hinako dengan kelebihan satu pukulan sementara pemain tempatan, Charley Hull dua di belakang bersama kumpulan lain.

Empat hari selepas menjuarai Kejohanan Evian Championship di Perancis, Ko meneruskan momentumnya dengan 68.

Bintang Korea Selatan itu melakukan bogey berganda di lubang ke-14, tiga putting dari jarak tiga kaki tetapi ketika pemain lain mungkin kecewa dengan situasi itu, Ko tampak tidak tertekan.

Dia kembali bangkit dengan mencipta par lima di lubang 15 dan par empat di lubang 18.

Ko yang juga pemain nombor satu dunia memburu trofi kejuaraan utama ketiga selepas Evian dan ANA Inspiration di California pada April lalu.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 11:16am
d