arena

Kebangkitan dramatik tewaskan Sepanyol

Oleh Saiful Affendy Sapran

KEBANGKITAN di saat akhir memberi ganjaran besar untuk skuad hoki lelaki negara apabila berjaya menewaskan Sepanyol 4-3 pada perlawanan pertama Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Catalonia, hari ini.

Meskipun pada satu ketika ketinggalan 1-3, pasukan bimbingan Roelant Oltmans tidak mudah berputus asa untuk mencari gol penyamaan sekaligus meraih gol kemenangan di minit akhir perlawanan.

Ia adalah kemenangan pertama skuad negara ke atas pasukan ranking ke sembilan dunia itu dalam lapan perlawanan terakhir.

"Kami bermain dengan baik pada suku kedua tetapi sayangnya pemain melepaskan beberapa peluang untuk menjaringkan gol terutamanya pada suku ketiga.

"Bagaimanapun di suku keempat kami berjaya bangkit mengubah kedudukan perlawanan.

"Marhan (Jalil) menjadi antara watak penting untuk pertemuan hari ini selain Akhimullah (Anuar Esook) berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama pasukan kebangsaan," kata Oltmans ketika dihubungi.

Malaysia yang tewas 0-1 kepada lawan sama pada perlawanan persahabatan sebelum ini, ketinggalan dua gol diawal permainan selepas Xavi Lleonart dan Albert Beltran menjaringkan gol menerusi jaringan padang m-10 dan 24.

Penyerang skuad negara, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil merapatkan jurang seminit kemudian hasil pukulan sudut penalti.

Minit ke-36 menyaksikan Alvaro Iglesias mengukuhkan kedudukan Sepanyol dengan gol ketiga namun penyerang negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi kembali merapatkan jurang m-49 berpunca dari pukulan sudut penalti.

Malaysian Tigers melakukan kebangkitan di hujung perlawanan apabila penyerang muda negara, Akhimullah menjaringkan gol padang minit ke-60.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abdul Rahim meraih gol kemenangan skuad negara beberapa saat selepas itu.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 4:16pm
d