arena

'Nak lihat UiTM 'enjoy' berdepan JDT'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

TIADA lain ditagih ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria pada aksi sulung Piala Malaysia melainkan pemainnya mempamer permainan berkualiti menentang juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam ini.

Mengakui teruja untuk melihat persembahan pemainnya, Ismail berkata, ia peluang terbaik pemain 'The Lion Troops' menimba pengalaman menentang JDT yang dibarisi pemain ternama.

"Realitinya UiTM pasukan kerdil dan dibarisi pemain muda baru setahun jagung beraksi dalam Liga Perdana.

"Sebagai jurulatih saya teruja.

Teruja untuk lihat bagaimana mereka berdepan JDT yang dibarisi ramai pemain memiliki nama besar dalam bola sepak.

"Mereka adalah pemain masa depan dan saya nak lihat mereka bersaing dan tunjuk yang terbaik. Saya bukan mengharapkan mereka boleh menang. Itu letak tepi.

Kalah menang bukan persoalan tapi saya nak lihat mampukah pemain saya bersaing, kuatkah mental dan fizikal dan disiplin mereka," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Menurut Ismail, JDT bukanlah pasukan yang 'kebal' namun beliau tidak mahu memberi tekanan kepada pemainnya yang kebanyakan pertama kali bermain dalam Liga Perdana tahun ini kecuali pemain import.

"Saya tidak mahu pemain tertekan, nanti mereka tidak boleh bermain. Sebaliknya 'enjoy' bermain.

"Memang kita ada strategi dan taktikal untuk menentang JDT dan jika mereka berjaya terjemahkan dengan baik, keputusannya tentu baik dan kalah pun tidak teruk. Sebalik jika main dalam keadaan tertekan, mungkin rekod buruk," katanya.

Bekas pengendali pasukan Kuantan FA dan Sime Darby FC itu turut optimis boleh menyaingi Petaling Jaya City FC dan PKNP FC ketika JDT diletak sebagai pasukan pilihan menjuarai Kumpulan B.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 4:30pm
d