arena

Hafiz kian matang

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

PEMAIN boling pelapis kebangsaan, Hafiz Zainuddin mengakui bersyukur dengan permainannya yang semakin menunjukkan peningkatan sepanjang tahun ini.

Kejayaan meraih tiga pingat perak dalam acara beregu, ‘All Events’ dan ‘Masters’ Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia (AYTBC) 2019 di Kuching April lalu antara pencapaian yang melonjakkan pemain Kuala Lumpur itu.

Tidak ketinggalan pencapaian di Madrid Challenge bulan lalu yang turut meletakkan dirinya di kedudukan ke-12 kejohanan, mengatasi ramai pemain senior lain dan mendapat perhatian Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, selepas setahun menyertai skuad pelapis kebangsaan, dia bersyukur dengan peningkatan ditunjukkan.

“Saya bersyukur dengan sumbangan jurulatih yang banyak mengajar saya selama ini,” katanya.

Dia membantu skuad Kuala Lumpur meraih pingat perak dalam acara berpasukan Kejohanan Boling Antara Negeri dan menduduki tangga keempat acara beregu bergandingan dengan Timmy Tan.

“Pada mulanya saya diajar jurulatih Azidi Ameran dan sekarang Holloway Cheah dan saya berusaha sebaik mungkin untuk terus meningkat.”

Mengulas mengenai aksinya di Kejohanan Antara Negeri berakhir kelmarin, dia mengakui permainannya kurang memuaskan pada hari pertama namun segera memperbaiki permainannya dalam acara beregu dan berpasukan.

Hafiz antara pemain boling bersaing di Kejohanan Boling Kebangsaan yang ketika ini sedang berlangsung di Sunway Megalanes dengan pemenangnya ditentukan Ahad ini.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 6:19pm
d