arena

NS cari helah kekang Kedah

Oleh Mohd Amin Jalil

PENGENDALI Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad menuntut komitmen tinggi pemain untuk membuktikan keupayaan sebenar ketika menentang Kedah pada aksi pembukaan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Jurulatih berusia 59 tahun itu sedar tugas berat menanti anak buahnya ketika berdepan skuad Helang Merah yang muncul juara Piala FA baru-baru ini.

Namun, beliau yang diberikan amanah oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) bagi mengambil alih tanggungjawab ketua jurulatih yang direhatkan, Mat Zan Mat Aris, sudah menyediakan ramuan terbaik untuk berdepan anak didik Aidil Sharin Sahak.

“Kami membuat persiapan rapi bermula minggu lalu sebaik menamatkan cabaran dalam Liga Perdana dan fokus kami untuk memberikan cabaran lebih bermakna dalam saingan Piala Malaysia.

“Saya akui berasa lega kerana persiapan latihan lancar dan semua pemain utama termasuk import cergas tanpa sebarang masalah atau kecederaan sekali gus membolehkan kami menurunkan barisan terbaik.

“Saya harap komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain sepanjang latihan dapat diterjemahkan dalam perlawanan malam esok,” katanya di Seremban, hari ini.

Zaki berkata, selain empat pemain import Shunsuke Nakatake, Almir Neto, Matheus Vila dan Igor Luiz yang dijadikan taruhan, beliau juga mahu gabungan tenaga berpengalaman dan muda dalam pasukan itu dapat membentuk gandingan mantap bagi menafikan kehebatan Kedah yang tampil selaku pasukan terkuat dari Liga Super.

Disiarkan pada: August 2, 2019 @ 7:28pm
d