arena

FAM 'tersasul'

Oleh Syazwan Msar

KURANG 24 jam selepas mengeluarkan kenyataan media kurang jelas menerusi Facebook, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memohon maaf dan tidak berniat mengambil ‘kredit’ terhadap kejayaan skuad Bawah 15 (B-15) kebangsaan.

Dalam entri awal, FAM dikatakan mengaitkan kejayaan itu adalah hasil segera daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang baru dilancarkan badan induk terbabit 9 Julai lalu, walhal skuad itu adalah daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) membabitkan kerjasama FAM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Antara kejayaan skuad bimbingan P Maniam termasuk melakukan kejutan dengan menewaskan Australia 3-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan B, Kejuaraan B-15 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2019 di Chonburi, Thailand, petang kelmarin.

Sebelum itu, mereka mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan Brunei 8-0 sebelum Kemboja pula menjadi mangsa pemain muda negara dengan kemenangan 2-0.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dalam kenyataan media terbaru menerusi Facebook FAM bagi menjelaskan kekeliruan itu memaklumkan, skuad B-15 negara berada pada landasan betul selepas mencipta pelbagai kejayaan termasuk Kejohanan Jockey Club International Youth 2019 Di Hong Kong, April lalu, selain muncul juara di CFA Team China International Youth Football Tournament Haikou 2019, bulan lalu.

Terkini, mereka menunjukkan prestasi baik pada Kejuaraan B-15 AFF 2019, sekali gus seiring dengan apa yang cuba diterapkan dalam DNA Bola Sepak Malaysia itu.

“Untuk makluman semua, NFDP adalah projek yang dilaksanakan secara bersama oleh KBS, FAM dan MSN menerusi kerjasama baharu sejak Disember 2018.

“Kami gembira melihat kerjasama ini mula membuahkan hasil dan pencapaian pasukan remaja negara seperti yang ditampilkan skuad B-15 kebangsaan ini jelas menunjukkan projek terbabit sedang berjalan dengan baik dan lancar,” katanya, di sini.

Untuk rekod, NFDP terlebih dulu melancarkan DNA bola sepak negara bagi menyeragamkan sistem permainan dan corak latihan membabitkan pemain berusia tujuh hingga 17 tahun.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, FAM kagum dan berterima kasih kepada barisan penggerak NFDP dan juga pihak Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang kerana berjaya melahirkan pemain muda berbakat untuk negara.

“Saya berharap supaya tidak lagi terus berbalah mengenai hal mengambil kredit atau ‘claim’ dan sebaliknya kita berikan sokongan padu dan mendoakan skuad B-15 kebangsaan terus mencatat kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan B.

“Skuad negara dijangka bertemu Laos esok dan tuan rumah, Thailand pada Isnin untuk memburu slot ke separuh akhir dengan impian ke pentas final dan menjuarai kejohanan ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 6:00am
d