arena

Rajagobal kecewa aksi PKNS

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI PKNS, Datuk K Rajagobal meluahkan rasa kecewanya selepas pasukannya gagal mengutip sebarang mata biarpun berpeluang melakukannya pada aksi pertama Kumpulan A saingan Piala Malaysia malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, skuad Semut Merah tumpas 1-3 kepada naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC dalam aksi yang menghiburkan itu.

"Kita datang ke Terengganu dengan keyakinan untuk mengutip mata tetapi pemain tidak bermain dengan begitu agresif selain terlalu memberi ruang kepada pihak lawan menjaringkan gol awal.

"Pada babak kedua, kita menguasai permainan dan bermain dengan baik untuk memburu jaringan namun masih gagal, keputusan pada perlawanan pertama kempen Piala Malaysia ini ternyata mengecewakan saya.

"Saya mungkin melakukan rombakan ketika bertemu Negeri Sembilan bagi memastikan tiga mata dapat diraih dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan," ujar Rajagobal yang mengakui ayam tambatannya, Kpah Sherman bermain baik apabila banyak memberi tekanan kepada pertahanan lawan cuma gagal menghasilkan jaringan.

Pada perlawanan itu, pemain tengah TFC, Sanjar Shaakhmedov memusnahkan impian PKNS untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata selepas meledak dua gol manakala satu gol lagi dijaringkan Nasrullah Hanif Johan sementara gol tunggal PKNS menerusi Jafri Firdaus.

Ketika ditanya adakah cadangan untuk menjadikan pasukan itu sebagai 'feeder club' kepada Selangor menyebabkan fokus anak buahnya terganggu, Rajagobal menyatakan beliau akan menyelidik perkara itu.

"Kemungkinan ada atau tidak saya tidak pasti, saya perlu tanya pemain terlebih dahulu sama ada perkara itu mengganggu tumpuan mereka atau sebaliknya.

"Namun, saya tetap berkeyakinan pasukan kami juga berpeluang mara ke suku akhir walaupun TFC dan Kedah menjadi pasukan pilihan untuk mara ke peringkat itu," kata bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 12:46pm
d