arena

Pahang bangkit kecewakan P Pinang

Oleh Asrol Awang

PAHANG bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 3-1 ke atas Pulau Pinang pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Ketinggalan 0-1 hasil sentuhan penyerang import Julian Bottaro pada awal babak kedua tidak memadam misi skuad Tok Gajah untuk mengutip tiga mata pada aksi pertama peringkat kumpulan.

Penyerang dari Argentina, Bottaro mengejutkan tuan rumah lima minit selepas rehat apabila dia menyudahkan satu serangan balas pantas sekali gus mengatasi penjaga gol Helmi Eliza Elias.

Namun, penyerang berbisa Pahang, Dickson Nwakaeme menyamakan kedudukan 1-1 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58.

Pengadil Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti itu selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh pertahanan Pulau Pinang, Wan Syukri Wan Ahmad.

Pada minit ke-66, Sumareh yang juga pemain naturalisasi negara menjaringkan gol kedua tuan rumah hasil lorongan Nwakaeme.

Enam minit sebelum tamat tandukan pemain pertahanan, Muslim Ahmad menerjah jaring lawan untuk memastikan kemenangan 3-1 buat Pahang.

Disiarkan pada: August 3, 2019 @ 11:17pm
d