arena

Hamilton tak dapat panggilan

Oleh Reuters

BOS Red Bull, Christian Horner membalas spekulasi Max Verstappen dan Lewis Hamilton mungkin menjadi rakan sepasukan Formula Satu apabila menegaskan beliau tidak dihubungi juara dunia lima kali dari Mercedes itu.

Gosip itu berkisar mengenai sama ada Mercedes mungkin mahukan khidmat pemandu Red Bull dari Belanda berusia 21 tahun itu menggantikan Valtteri Bottas dari Finland tahun depan.

Ditanya sama ada bos Mercedes, Toto Wolff ada menghubungi Red Bull mengenai Verstappen dan sama ada ia bagus bagi sukan itu mempunyai kedua-duanya dalam satu pasukan, Horner tersenyum.

“Sudah tentu Wolff tidak bercakap dengan saya mengenainya,” katanya.

“Beliau bercakap dengan hampir setiap pemandu di grid, jadi saya fikir jika beliau ada berbincang ia secara terus dan tidak menerusi pasukan.

“Situasi dengan Verstappen jelas. Tapi dari segi dua pemandu ini dalam satu pasukan, saya tidak mendengar apa-apa daripada Hamilton sama ada dia mahu menyertai (Red Bull) kami tahun depan.”

Hamilton yang tidak berdepan masalah dengan Bottas berkata, dia tidak kisah jika dibandingkan dengan Verstappen.

“Saya baca berita menyatakan kami mempunyai jentera berbeza, jadi itulah satu-satunya cara (saya menang), jadi ia memberikan saya peluang untuk membuktikan ia tidak benar,” kata pemandu Britain itu.

Bekas rakan sepasukan Hamilton dan juara 2016, Nico Rosberg yang kini menjadi pengulas televisyen Sky menyatakan di Jerman hujung minggu lalu bahawa Verstappen akan menjadi pendahulu kejuaraan dunia jika dia memandu jentera Mercedes.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 6:31am
d