arena

James cabar diri

Oleh AFP

DANIEL James mengesah kemenangan Manchester United menerusi penentuan penalti kepada AC Milan dalam saingan Piala Juara Antarabangsa dan sekali gus mencatat enam kemenangan dalam perlawanan pra musim skuad itu.

Pemain kebangsaan Wales berusia 21 tahun - yang dibawa masuk daripada pasukan liga Kejuaraan, Swansea hujung musim lalu - memastikan kemenangan selepas David de Gea menyelamatkan penentuan sepakan penalti yang dilakukan Daniel Maldini yang juga anak kepada legenda skuad Itali dan Milan, Paolo Maldini.

United mencatat kemenangan 5-4 menerusi penalti itu selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar. Antara lima lagi perlawanan yang dimenangi United adalah termasuk mengalahkan Tottenham Hotspur dan Inter Milan.

“Ia amat hebat. Hari ini adalah ujian yang sukar namun ia menunjukkan semangat yang datang berkobar-kobar.” kata James kepada MUTV.

“Untuk menyempurnakan penalti terakhir, terutama di Cardiff ini adalah cukup istimewa. Semua pemain memberi kerjasama yang baik, amat baik untuk beraksi bersama-sama sepanjang pra musim, semua orang melayan saya dengan baik. Minggu depan satu lagi ujian.

“Chelsea (perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris minggu depan) pastinya perlawanan yang sengit namun kami sudah menunjukkan kemampuan dengan enam kemenangan daripada enam perlawanan.

Kejayaan wakil Inggeris itu hadir tanpa penampilan penyerang Belgium, Romelu Lukaku yang dijangka akan meninggalkan kelab itu dengan potensi pertukaran perjanjian membabitkan pemain Argentina, Paulo Dybala dari Juventus yang sedang dalam rundingan selain ketiadaan pemain tengah yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis, Paul Pogba.

Pogba dilaporkan tersisih dalam aksi di Wales itu selepas mengalami kecederaan belakang.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 10:12am
d