arena

Kean sah milik Everton

Oleh Reuters

PENYERANG berusia 19 tahun, Moise Kean sah menjadi milik Everton dengan kontrak selama lima tahun.

Butir kewangan rundingan tidak didedahkan oleh kelab Liga Perdana itu tetapi media Britain melaporkan perpindahan pemain antarabangsa Itali dari Juventus bernilai 36 juta pound (RM182 juta).

“Saya berasa bangga dan terharu menyarung jersi Everton. Saya mahu memberikan persembahan terbaik kepada pasukan ini,” kata Kean dalam kenyataan kelab itu, hari ini.

“Saya yakin menandatangani kontrak kerana Everton memandang ke masa depan dan begitu juga saya.

“Saya tahu saiz kelab itu, ia mempunyai cita-cita besar dan saya akan bekerja keras untuk membantu kami dengan apa yang kami hendak capai.”

Kean yang membuat penampilan untuk Juventus pada usia 16, menjaringkan enam gol dalam Serie A musim lalu ketika kelab Turin itu meraih gelaran kelapan liga berturut-turut.

Dia juga menjaringkan dua gol untuk Itali dalam tiga penampilan sejak membuat penampilan tahun lalu.

“Sebagai penyerang, ia menjadi salah satu keutamaan kami pada musim panas ini,” kata bos Everton, Marco Silva.

“Moise pemain kuat, pantas dan memiliki banyak kualiti sebagai penyerang dan dia baru berusia 19 tahun.

“Dia berbakat dan sedia bekerjasama meningkatkan kemampuan skuad kami dan ia memberikan kami pelbagai penyelesaian.”

Kean muncul pemain kelima dibeli oleh kelab Merseyside itu selepas pemain tengah Andre Gomes, Fabian Delph, Jean-Philippe Gbamin dan penjaga gol, Jonas Lossl.

Everton yang menamatkan saingan di tempat kelapan EPL musim lalu, akan memulakan saingan musim baru di Crystal Palace, Sabtu ini.

Disiarkan pada: August 4, 2019 @ 9:18pm
d