arena

Alli terlepas permulaan Liga Perdana

Oleh AFP

PEMAIN tengah Tottenham, Dele Alli terpaksa diketepikan bagi aksi pertama musim baharu Liga Perdana Inggeris kerana kecederaan hamstring.

Pemain kebangsaan England itu cedera ketika latihan dan pengurus Mauricio Pochettino mengesahkan dia akan terlepas aksi pembukaan menentang Aston Villa, Sabtu ini.

Ia satu tamparan besar buat perancang utama itu, yang dibelenggu masalah hamstring musim lalu dan Pochettino mengakui ia membimbangkan.

Pengendali dari Argentina itu, yang menyaksikan pasukannya melengkapkan aksi pramusim seri 1-1 dengan Inter Milan lewat malam tadi berkata: “Saya rasa dia tak bersedia bagi permulaan musim.

“Ia kawasan yang sama. Ya, sudah tentu kami bimbang. Dia masih muda. Baru 23 tahun dan kerap kali mengalami masalah hamstring dalam beberapa tahun terakhir.

“Perlu memberi tumpuan terhadap tubuh badannya, tapi kami di sini cuba membantunya. Saya fikir ia satu kecederaan kecil. Hanya beberapa minggu sebelum dia boleh beraksi semula dan menyertai pasukan.”

Dengan hanya kurang seminggu sebelum jendela perpindahan ditutup, Tanguy Ndombele kekal satu-satunya pembelian yang memberi impak dalam pasukan utama pada musim panas kali ini dan Pochettino melahirkan kekecewaannya minggu lalu apabila beliau enggan terbabit dengan urusan pembelian kelab itu.

Beliau tidak memberi perkembangan terkini mengenai pemain yang berpotensi hadir ke Stadium Tottenham Hotspur dengan Giovani Lo Celso dan Bruno Fernandes dilaporkan menjadi sasaran dan beliau tidak bercakap dengan pengerusi Daniel Levy akhir-akhir ini.

“Tidak, beliau berada di Miami dan saya tidak berpeluang bercakap dengannya,” kata Pochettino mengenai Levy.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 7:54am
d