arena

Jessica ungguli Terbuka Citi

Oleh Reuters

PEMAIN pilihan tempatan Jessica Pegula mudah mengatasi pemain Itali, Camila Giorgi untuk memenangi kejuaraan sulung Jelajah WTA pada Terbuka Citi di Washington, awal pagi tadi.

Pemain Amerika Syarikat berusia 25 tahun itu menang 6-2, 6-2 dalam tempoh hanya 59 minit, memenangi dua ‘game’ pertama kedua-dua set dalam laluan melakar kejayaan.

Jessica, anak perempuan pemilik pasukan NFL, Buffalo Bills dan NHL, Buffalo Sabres, menamatkan perlawanan itu dengan servis mengagumkan sebelum melutut meraikan kemenangannya.

“Saya sering bermain bagus di sini,” kata Jessica selepas perlawanan. “Jadi saya gembira dapat merangkul kejuaraan sulung di sini.”

Dia muncul pemain pertama AS memenangi kategori wanita kejohanan itu sejak Sloane Stephens pada 2015.

Jessica, yang menang tiga daripada empat pertemuan dengan Camila, bermain pada final kejohanan WTA keduanya, sesudah tumpas di Quebec City September lalu. Dia menghuni ranking nombor 79 dunia.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 12:59pm
d