arena

Zainal puji semangat juang Melaka United

Oleh Nazri Abu Bakar

BANGKIT selepas ketinggalan untuk menewaskan PDRM 3-1 pada aksi pembukaan saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, semalam amat melegakan jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan.

Baginya, fokus pemain yang tinggi untuk menyamakan kedudukan dan meledak dua gol tambahan adalah petanda amat baik dalam mengharungi baki saingan termasuk bertemu Selangor di gelanggang sama Khamis ini.

Katanya, cuma terlepas jaringan awal kepada lawan seharusnya dielakkan kerana boleh membawa padah seandainya gagal bangkit.

"Namun semangat juang tinggi berkenaan amat membanggakan dan saya mahu kekuatan mental terbabit akan terus menjadi teras sepanjang saingan selepas ini.

“Situasi bijak mengatasi tekanan selepas ketinggalan juga dilihat positif sepanjang 45 minit kedua untuk dua gol tambahan," katanya.

Zainal berkata, kemenangan berkenaan juga permulaan baik untuk memastikan usaha pasukan melepasi halangan peringkat kumpulan mampu menjadi kenyataan.

Namun keceriaan mengumpul tiga mata terbabit tetap meresahkan Zainal selepas dua pemain utamanya Davy Angan dan Saiful Ridzuwan Selamat mengalami kecederaan pada babak pertama dan kedua perlawanan.

Beliau berkata, apa yang positif Luka Milunovic yang mengambil alih tugas Angan menjalankan tugasan dengan agresif untuk merobek kubu lawan.

Sementara Ramzi Haziq yang menggantikan Saiful juga bertindak positif untuk memperkasa barisan tengah skuad Hang Tuah.

Apapun, Zainal masih memantau tahap kecederaan kedua-dua pemain berkenaan namun mengharapkan mereka akan pulih segera menjelang aksi berdepan The Red Giants.

Baginya, dia pastinya mahu menurunkan barisan terbaik berdepan lawan selepas Melaka turut kehilangan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) yang masih mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 7:11pm
d