arena

'Diam tidak bermakna setuju'

Oleh Malik Muhamad

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail tidak mahu terburu-buru menjawab kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung sistem pembayaran elaun pemain sehingga menyebabkan dua tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak mengumumkan persaraan.

Sebaliknya tindakan beliau mendiamkan diri seketika bertujuan mengelak isu itu terus menjadi `panas’ tanpa sebarang jalan penyelesaian terbaik.

Beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada Rabu ini sebelum membalas kenyataan Syed Saddiq bagi merungkaikan kemelut yang melanda.

“Sebaik Syed Saddiq mengeluarkan kenyataan itu, saya berbincang dengan Datuk Ahmad Shapawi, saya tidak berhasrat menjawab kenyataan itu kerana pengurusan PSM akan berbincang sekali lagi dengan beliau (Ahmad Shapawi) pada 7 Ogos ini di Johor.

“Sebagai persatuan di bawah naungan MSN, kami menghormati nasihat daripada Ahmad Shapawi, biarlah perbincangan itu berjalan terlebih dahulu kerana kami tidak mahu merumitkan lagi keadaan selain mungkin akan ada yang disalah tafsir, jadi biarlah kami mencari jalan secara profesional.

"Macam kita lihat duit syiling, jika kita lihat pada sudut kepala, akan nampak kepala tetapi jika kita lihat di sebaliknya ada bunga yang lebih indah dan cantik," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang Kejohanan Piala Emas Khir Johari Edisi ke-55 di Stadium Negeri Kuala Terengganu di sini semalam.

Ahmad berkata, semua pihak tidak perlu terasa dengan ketiadaan dua tekong itu kerana pemain sedia ada juga mampu menggalas cabaran negara sebagaimana pencapaian negara dalam Kejohanan Asia di Kunming, Jun lalu.

Minggu lalu, Syed Saddiq meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan PSM sebagai tidak adil dalam proses pemberian elaun kepada pemain sehingga menyebabkan tekong emas negara itu mengumumkan pengunduran daripada mewakili skuad kebangsaan.

Disiarkan pada: August 5, 2019 @ 9:50pm
d